Tarikh Kemaskini : Rabu, 20 Mac 2024.
blue green oren
A- A A+

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah keputusan yang menuntut guru menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Pada 14 April lalu, Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengeluarkan surat bertajuk ‘Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris Guru Opsyen Bahasa Inggeris Berlandaskan Common European Framework of References (CEFR).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata antara kandungan surat itu ialah seramai 20,634 orang guru yang belum mengambil sebarang ujian profesiensi dikehendaki menduduki MUET dengan pembiayaan sendiri bagi mengetahui tahap penguasaan bahasa itu menjelang Disember depan.

Sehubungan itu, NUTP bersama Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Kesatuan Guru Sabah (KGS) dan Sarawak Teachers Union (STU) mengadakan satu seminar pendidikan bahasa Inggeris, bagi membincangkan isu ini.

“Rumusan daripada seminar ini, kami mahu pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan isu pokok iaitu kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris terlebih dulu berbanding mengarahkan guru ini menduduki MUET.

“Kami juga memohon KPM dan pemegang taruh membuat kajian yang komprehensif punca sebenar kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan bukan menuding jari kepada tahap penguasaan bahasa ini kepada guru saja,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Seminar yang dijalankan selama dua hari itu dihadiri lebih 40 orang guru wakil dari seluruh negara yang terdiri daripada guru opsyen dan bukan opsyen bahasa Inggeris.

Turut hadir, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, Naib Presiden Sabah Teachers Union (STU Sabah), Susan Attau dan Setiausaha Agong KGKS, Fadzil Mohd Jamil.

Sementara itu, NUTP juga mohon penjelasan KPM berkenaan beberapa persoalan termasuk kewajaran mengambil MUET dan kenyataan berbeza yang dikeluarkan pihak kementerian berhubung isu yang sama.

“Disebabkan kenyataan yang berbeza daripada KPM, kami ingin mendapatkan pengesahan siapakah yang wajid menduduki MUET? Adakah guru opsyen atau bukan opsyen bahasa Inggeris?

“Sekiranya mereka menduduki MUET dan tidak mencapai tahap yang ditetapkan apakah tindakan KPM terhadap guru ini? Adakah mereka tidak dibenarkan mengajar bahasa itu lagi?

“Selain itu, adakah wajar guru ini yang mempunyai kelulusan TESL (Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) perlu menduduki MUET seperti disamakan taraf dengan calon yang memohon memasuki institusi pengajian tinggi sedangkan mereka sudah mempunyai kelayakan,” katanya.

Sehubungan itu, pihak NUTP memohon penyelesaian kepada kemelut permasalahan ini dengan menuntut pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Sebagai jalan penyelesaian, NUTP ingin mengadakan perjumpaan segera dengan Dr Maszlee untuk membincangkan isu ini bagi meredakan keresahan guru bahasa Inggeris di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa peserta seminar yang mewakili akar umbi turut tampil menyuarakan beberapa perkara seperti impak kekurangan guru bahasa Inggeris menyebabkan mereka terpaksa mengajar melebihi 34 hingga 40 jam seminggu.

“Ini adalah masalah sebenar guru di sekolah yang kekurangan guru bahasa Inggeris.

“Bagi menyelesaikan isu ini guru opsyen pula terpaksa menggantikan kami. Sedangkan mereka tidak mempunyai kemahiran kerana lebih mahir dalam ilmu pendidikan lain, contohnya guru agama dan guru muzik diminta ajar bahasa Inggeris,” katanya.

Seorang lagi wakil peserta berkata persekitaran yang kurang kondusif turut menyumbang kepada kelemahan penguasaan bahasa ini dalam kalangan murid.

“Tiada galakkan daripada ibu bapa, di rumah malah mereka masih bertutur dialek masing-masing sama ada bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil. Ini menyebabkan bahasa Inggeris menjadi bahasa ketiga mereka sekali gus penguasaan bahasa menjadi lemah,” katanya.

Wakil peserta juga berkata sekolah yang mempunyai guru bahasa yang mahir dan mencukupi ternyata memberi impak positif.