Tarikh Kemaskini : Selasa, 20 Oktober 2020.
blue green oren
A- A A+

Perkasakan DLP sebelum kembali laksanakan PPSMI - NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpendapat Program Dua Bahasa (DLP) Matematik dan Sains perlu diperkasakan dalam sistem pendidikan di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata ia memberi pilihan kepada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mempelajari subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.
Justeru katanya, kerajaan perlu meneliti dan mengkaji semula masalah yang dihadapi membabitkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ia dilaksanakan semula.

"Ia hanya dilaksanakan kepada mereka yang mahu (belajar dalam bahasa Inggeris). Jadi apabila ada DLP, kita tidak ada tentangan daripada ibu atau masyarakat kerana ini adalah kehendak mereka yang mahukan anak mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

"Guru-guru juga tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan kertas peperiksaan dwi bahasa sebab semua yang masuk dalam sistem ini mereka sudah tahu bahawa kesemuanya akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

"Jadi, dari segi pendidikan ia tidak akan menimbulkan apa-apa kekeliruan kepada ibu, masyarakat mahupun anak didik kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran pelaksanaan PPSMI yang diusulkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Huat Hock menambah NUTP bersetuju dengan cadangan agar matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.

Namun, perkara itu tidak wajar dipolitikkan, selain isu tenaga pengajar yang tidak mencukupi perlu diatasi.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan matematik akan kembali ke bahasa Inggeris dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.