Tarikh Kemaskini : Selasa, 20 Oktober 2020.
blue green oren
A- A A+

NUTP gesa PdP dalam talian dikaji semula

 
Oleh Zanariah Abd Mutalib
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan digesa memberi perhatian serius terhadap isu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang dikatakan bermasalah hingga menimbulkan kebimbangan guru, ibu bapa serta pelajar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata niat pihak atasan dan pentadbiran melaksanakan PdP melalui kaedah itu memang baik ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, katanya, ia mempunyai beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, antara maklum balas diterima pihaknya daripada guru berhubung PdP dalam talian itu ialah capaian Internet tidak menyeluruh dalam kalangan pelajar, selain mereka terpaksa berkongsi telefon pintar dengan adik-beradik lain.

“Guru juga memaklumkan bahawa pelajar berdepan masalah tidak memiliki kemudahan komputer bagi menyiapkan tugasan dalam talian, sekali gus tidak boleh mencetaknya.

“Selain itu, suasana di rumah tidak kondusif untuk mereka belajar, antaranya disebabkan suasana bising, tempat sempit dan tiada kemudahan seperti meja serta kerusi yang sesuai.

“Pelajar juga berdepan masalah untuk merujuk ibu bapa jika mereka kurang berpelajaran, manakala guru terpaksa mengurus anak di rumah sambil mengajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pelajar daripada golongan berpendapatan rendah juga akan ketinggalan dalam subjek diajar secara dalam talian, sebagai contoh mereka di kawasan pedalaman.

“Adakah kementerian mengambil kira murid datang daripada keluarga bermasalah, seperti ibu bapa bercerai yang mana anak dijaga ibu dilengkapi gajet tetapi ketika PKP dilaksanakan, kebetulan anak itu berada dengan bapa yang tiada kemudahan itu, anak yatim atau murid kurang upaya?” katanya.

Harry berkata, masalah guru terkandas di kampung dengan kemudahan Internet yang terbatas juga perlu diambil kira, selain mereka mendapati PdP cara itu menyebabkan pelajar cepat jemu.

“NUTP juga mendapati ada beberapa rintihan golongan pendidik akibat tekanan daripada ketua jabatan dan pentadbir mengarahkan guru menjalankan kerja dari rumah sepanjang PKP, yang bukan setakat pembelajaran dalam talian saja.

“Keadaan ini seolah-olah menunjukkan mereka ialah ketua jabatan atau pentadbir rajin dan bekerja keras, sedangkan guru mengalami tekanan akibat pelbagai arahan mereka.

“Sepatutnya ketua jabatan atau pentadbiran memahami kesukaran dihadapi guru, bukan mengejar KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka,” katanya.

Harry memaklumkan, pihaknya juga mendengar desas-desus ketua jabatan atau pentadbir didakwa memberi kebenaran untuk guru ke sekolah mengambil bahan rujukan, sekali gus menyebabkan murid juga mahu mengambil buku rujukan mereka.

Namun, beliau menegaskan, kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, sebelum ini jelas menekankan bahawa ketua jabatan atau pentadbir tidak boleh mengarahkan pegawai hadir bekerja.

Justeru, katanya, NUTP berharap Kementerian Pendidikan membuat kajian semula berhubung PdP dalam talian agar tidak membebankan mana-mana pihak.