Tarikh Kemaskini : Selasa, 20 Ogos 2019.
blue green oren
A- A A+

Semua pihak digesa henti kontroversi tulisan jawi

Harry Tan Huat Hock
 
 

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa semua pihak berhenti mempersoalkan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, tulisan jawi dalam mata pelajaran tersebut bukan perkara baharu sebaliknya sudah diperkenalkan kepada murid sekolah rendah sejak 2011.

“Untuk makluman, murid mula mengenali Seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan bagi murid Tahun Satu pada 2011.

"Pada 2015, ia wujud dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Lima untuk sekolah jenis kebangsaan di bawah tema 'Menghargai Budaya Bangsa',” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan kumpulan pendesak Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menentang tindakan Kementerian Pendidikan memperkenal tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Katanya, penelitian terhadap pengenalan tulisan khat dan jawi biarlah dilakukan oleh golongan profesional dan pihak lain diminta tidak mencetuskan lagi pelbagai spekulasi.

"Tahun ini merupakan semakan KSSR Tahun Empat, biarlah golongan profesional melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat ini tidak membebankan murid.

"Pengenalan seni khat adalah bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara. Justeru adalah tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kontroversi,” katanya.