Tarikh Kemaskini : Khamis, 01 November 2018.
blue green oren
A- A A+

MERUJUK kepada ruangan Surat Pembaca bertajuk ‘Rayuan pembantu tadbir sambilan’ di Sabah, pada 9 Oktober lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), ingin memberi cadangan kepada pengadu berkenaan.

Seramai 813 bekas Pembantu Tadbir Sambilan Sabah Lantikan Kementerian Pendidikan yang diberhentikan sebelum ini merayu kepada kerajaan agar diberi peluang menjawat semula jawatan itu.

Pada 2013, Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatan itu bagi Sabah dan Kedah untuk membantu mengurangkan beban tugas guru dan seramai 813 orang terbabit di Sabah ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2013.

Sebelum ini, NUTP memperjuangkan nasib pembantu tadbir sambilan di Kedah dan Melaka yang ditamatkan kontrak dan seramai 412 orang disambung kontrak selama dua bulan sehingga bulan depan.

Lanjut kontrak

Peluang kontrak mereka dilanjutkan selepas itu bergantung kepada Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Dalam konteks Kedah dan Melaka, NUTP sendiri membuat rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ini disebabkan kebanyakan pengetua dan guru sekolah terbabit ialah anggota NUTP dan memohon sokongan kami untuk membuat rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

Kami harap pengetua atau guru besar sekolah di Sabah yang memerlukan khidmat pembantu tadbir ditamatkan kontrak supaya menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan dan disokong oleh Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) dan Kesatuan Guru-Guru Sabah (STU).

Kebanyakan pengetua, guru besar dan guru di negeri berkenaan menganggotai KGKS dan STU.

Elaun RM50

Elaun pembantu tadbir sambilan terbabit ialah RM50 sehari dan kami turut merayu mereka diserapkan ke jawatan tetap, bergantung kepada kewangan kerajaan dan Bajet 2019.

Memang banyak sekolah memerlukan pembantu tadbir atau pembantu guru secara sambilan, terutama sekolah besar yang ramai murid dan guru.

Pembantu tadbir sambilan di Sabah dilaporkan sudah menyerahkan dokumen rayuan kepada Pejabat Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah melalui serahan kaunter dan berharap akan ada tindakan sewajarnya selepas ini.

Rayuan demi rayuan yang dibuat sebelum ini tidak mendapat sebarang perhatian.

Sebelum ini, wakil mereka sudah berjumpa dan menyerahkan sendiri memorandum kepada kerajaan Barisan Nasional, namun maklum balas yang diterima mendukacitakan.

Kamarozaman Abd Razak

Presiden NUTP Kuala Lumpur