KAMAROZAMAN
KAMAROZAMAN

Mendedahkan perkara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, perkara ini berlaku akibat bebanan kerja yang semakin meningkat apabila perlu mengendalikan kelas yang mempunyai sehingga 60 murid.

 

Katanya, sedangkan kelas bagi sekolah di luar bandar hanya mempunyai bilangan murid separuh daripada jumlah itu dan ini menyebabkan kes kemurungan guru di bandar besar dilaporkan semakin meningkat setiap tahun apabila tiada tindakan bagi menanganinya.

“Apabila jumlah murid terlalu ramai dalam satu kelas, maka bukan sahaja tugas mengajar makin mencabar bahkan tugas perkeranian yang juga sebahagian daripada tanggungjawab guru turut bertambah.

“Ini belum ditambah dengan faktor lain seperti masalah kewangan, masalah peribadi serta tekanan daripada ibu bapa. Jika cabaran ini tidak ditangani maka berlakulah kes kemurungan dan saya boleh dikatakan perkara ini cukup serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengalami kemurungan ditemukan mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya di Ipoh, minggu lalu kerana tidak dapat menerima beban kerja yang banyak.

Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut mendedahkan masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius terutamanya melibatkan negeri Johor dan Selangor berikutan ramai yang cenderung untuk bertugas di kampung halaman masing-masing.

Sementara itu, sebagai salah satu cara bagi menangani masalah ini, Kamarozaman berkata, guru kaunseling untuk guru juga perlu disediakan Kementerian Pendidikan kerana setelah mengambil kira cabaran semasa, ternyata bukan murid sahaja perlu menjalani sesi kaunseling.