Tarikh Kemaskini : Khamis, 29 November 2018.
blue green oren
A- A A+

KUALA LUMPUR - Sembilan janji Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terutamanya mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian dianggap perubahan yang sangat dinantikan warga pendidik.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik janji Menteri Pendidikan kerana isu berkaitan kerja-kerja perkeranian yang dilakukan selama ini telah memesongkan guru daripada tugas hakiki mereka.

 Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, sebelum Dr Maszlee mengumumkan sembilan janji itu, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan NUTP terlebih dahulu berkenaan pandangan dan syor NUTP mengenai beban tugas guru.

“NUTP memaklumkan kepada menteri untuk melihat isu-isu berkaitan kerja perkeranian yang memesongkan guru-guru daripada tugas hakiki dan masa bersemuka dengan murid-murid kita secara ‘face to face’.

“Kita juga turut mencadangkan tiga perkara utama iaitu kekalkan borang yang penting, mansuh borang  yang tidak relevan dan kekalkan borang tapi dengan penambahbaikan,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Ini 9 janji Menteri Pendidikan dalam Malaysia Baharu dan Pendidikan Negara ]

Harry berkata, NUTP melihat kesungguhan Dr Maszlee untuk menunaikan janji manifesto, mengurangkan beban kerja guru dan perubahan ini sangat dinantikan oleh semua guru.

Malah katanya, sebagai timbal balas, guru-guru berjanji akan menjalankan tugas dengan baik untuk memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara dan seterusnya mendidik generasi muda mengharungi segala cabaran hidup di zaman baharu.

Harry menjelaskan, hasil pertemuan dengan pihak kementerian itu juga meminta NUTP untuk menjalin hubungan lebih berstruktur dan berfokus.

Komitmen Dr Maszlee untuk menambah baik sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun sangat ditunggu, terutamanya mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian.