Tarikh Kemaskini : Isnin, 13 Ogos 2018.
blue green oren
A- A A+

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semanjung Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak. - Foto Halim Salleh

Kelonggaran setahun, ringankan ibu bapa miskin - NUTP

KUALA LUMPUR: Kelonggaran setahun terhadap pelaksanaan pemakaian kasut hitam di sekolah memberi ruang bagi ibu bapa membuat persediaan sewajarnya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak mengakui cadangan menukar kasut putih kepada kasut hitam sebagai langkah baik oleh Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu bergantung kepada kemampuan ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah.

"NUTP bersetuju adanya tempoh peralihan menukar kasut putih kepada kasut hitam supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa dan mereka boleh membelinya secara beransur-ansur.

"Namun kementerian perlu menyediakan garis panduan pemakaian kasut hitam pada tahun ini supaya ibu bapa boleh bersedia untuk kemasukan sesi persekolahan tahun depan.

"Kepada sekolah yang sudah menetapkan pelajarnya berkasut hitam seperti sekolah berasrama penuh dan pengawas sekolah, tiada masalah dan mereka boleh teruskan saja," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa tempoh kelonggaran setahun akan diberikan terhadap pelaksanaan pemakaian kasut hitam yang sepatutnya bermula tahun depan sebagai langkah tidak membebankan ibu bapa selain menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu.

Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata NUTP mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memainkan peranan mengawal harga kasut.

"Ini kerana apabila ada dasar baharu, pihak pengeluar akan ambil kesempatan menaikkan harga.

"Berkasut hitam ke sekolah memang bagus kerana ia tidak mudah nampak kotor terutama hari hujan tetapi apabila membabitkan kos, kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti pemberian kupon atau rebat kepada golongan miskin," katanya.

Kamarozaman berkata, pihaknya juga mahu KPDNKK memantau harga barang keperluan sekolah lain yang didapati meningkat.

"NUTP juga mahu pakaian sekolah diseragamkan dan untuk membezakan pelajar itu pengawas, mereka boleh memakai tali leher atau tudung berbeza warna dengan pelajar lain.

"Saya juga dapati pakaian seragam untuk aktiviti ko-kurikulum agak mahal dan ibu bapa terpaksa membelinya kerana tiada pilihan," katanya.