Tarikh Kemaskini : Selasa, 18 September 2018.
blue green oren
A- A A+

 

KUALA LUMPUR - Sebuah badan induk khas perlu ditubuhkan bagi mengawal keseluruhan perjalanan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata sungguhpun jawatankuasa TVET bakal ditubuhkan, badan khas yang dicadangkan itu akan bertindak sebagai pelaksana termasuk memberikan pandangan dan nasihat kepada jawatankuasa itu nanti.

 “Badan induk ini perlu ada bagi mengawal dan menyelaras TVET kerana ketika ini terdapat tujuh kementerian yang mengawal TVET mengikut hala tuju masing-masing. Kita belum tahu sama ada jawatankuasa yang diumumkan semalam adalah menyeluruh atau untuk bidang pendidikan sahaja.

“Badan khas ini juga yang akan mengawal dan mengiktiraf sijil tunggal TVET yang dikeluarkan. Ia juga bagi menghindari kecelaruan dan mengurangkan kerenah birokrasi, terutamanya apabila memajukan permohonan dana untuk TVET,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET akan ditubuhkan antara lain berperanan menyediakan laporan bagi memperkasakan TVET, dan akan dipengerusikan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Kamarozaman turut mencadangkan agar Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) dimansuhkan dan pembiayaan TVET dibuat menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memudahkan pengurusan dan penyaluran dana.

Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock, Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera Nordin Abdul Malek dan Timbalan Presiden Persekutuan Pusat-Pusat Latihan Kemahiran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Swasta Malaysia (FeMAC) Mazmadi Mohamad.

Sementara itu, Nordin berpendapat selain daripada wakil kementerian, anggota badan induk itu perlu dianggotai pihak berkepentingan seperti NUTP, persatuan latihan kemahiran swasta serta persatuan majikan. - Bernama