Tarikh Kemaskini : Selasa, 18 September 2018.
blue green oren
A- A A+

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata, keraguan itu disebabkan Nurul Izzah tidak mempunyai kuasa bertaraf menteri untuk mengetuai dan memastikan jawatankuasa terbabit dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan.

 
 

Kamarozaman mencadangkan agar timbalan perdana menteri dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan kerana mempunyai kuasa untuk mengetuai semua menteri terbabit.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak yakin Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pilihan sesuai untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang baru ditubuhkan.

 

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata, keraguan itu disebabkan Nurul Izzah tidak mempunyai kuasa bertaraf menteri untuk mengetuai dan memastikan jawatankuasa terbabit dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan.

“(Jika pengerusinya) bertaraf menteri, boleh bawa kepada Kabinet ataupun Parlimen,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Kamarozaman menambah, Nurul Izzah mungkin menghadapi kesukaran dalam menyelesaikan masalah membabitkan isu TVET.

Beliau sebaliknya mencadangkan Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon paling sesuai mengetuai jawatankuasa tersebut.

“Kita ada 7 kementerian yang terlibat mengelolakan TVET. Tidak ada kementerian khusus yang boleh mengetuainya,” katanya.

Sehubungan itu Kamarozaman mencadangkan timbalan perdana menteri dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan kerana mempunyai kuasa untuk mengetuai semua menteri terbabit.

“Timbalan perdana menteri boleh mengetuai semua menteri dan boleh pengerusikan mesyuarat. Baru punca kuasa itu betul, hierarki itu ada. Beliau adalah orang yang mempunyai kuasa penuh di bawah perdana menteri untuk urus TVET. Itu yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia yang akan dipengerusikan oleh Nurul Izzah bagi menyediakan laporan untuk memperkasa dan menaiktaraf TVET.

Kamarozaman berkata, NUTP tetap berpandangan posititif dan mahu satu badan bebas tunggal mengiktiraf TVET kerana badan seperti itu tidak ada sehingga kini.

Mengulas isu sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hassan berpendapat Nurul Izzah masih lagi belum menjelaskan rancangan tugasnya dan semua pihak harus memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

“Saya percaya sebagai pengerusi, beliau akan didokong oleh sebuah jawatankuasa yang terlatih dan mahir serta mampu memberikan nasihat dan pandangan profesional.

“Mungkin Nurul Izzah tak ada pengalaman, tetapi (ahli) jawatankuasa yang lain mungkin akan melengkapi keperluan jawatankuasa tersebut,” katanya.