Latest Update : Tuesday, 20 August 2019.
blue green oren
A- A A+

NUTP sokong Kementerian Pendidikan rombak subjek sejarah

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata NUTP mengalu-alukan cadangan kementerian mahu merombak sukatan mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 dan 5 supaya menjadi lebih menarik dan menepati keperluan semasa.

 “Sejarah satu mata pelajaran dinamik, jadi kita mengalu-alukan apa saja penambahbaikan. Mata pelajaran ini mesti lebih relevan dan dinamik.

“Pihak kami tidak ada halangan kecuali apabila guru diminta untuk membuat laporan yang berlebihan sehingga mengganggu pengajaran dan pembelajaran di kelas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harry berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semalam, bahawa kementeriannya akan menambah baik mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 dan 5 dalam usaha memberi pendedahan dan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya.

Maszlee berkata pelajar juga akan didedahkan dengan latihan amali bagi menerapkan amalan demokrasi dalam pilihan raya susulan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah untuk memberi pemahaman mengenai demokrasi dan pilihan raya sejak awal usia.

Justeru, Maszlee berkata pihaknya akan bekerjasama dengan SPR untuk menganjurkan siri jelajah ke sekolah di seluruh negara bagi memberi penerangan dan pemahaman berhubung proses demokrasi serta pilihan raya.